Pages

flash vortex

Sabtu, 05 Maret 2011

Mengenali Alam Jin

Alam Jin
Alam jin adalah alam realiti tapi tersembunyi. Kita diperintahkan oleh untuk beriman dengan kewujudannya dan meminta perlindungan kepada Allah daripada gangguannya. Mereka juga diberi tanggungjawab menjadi hamba kepada Allah dan mengikut para rasul. Mereka diberikan beberapa kelebihan yang kadang-kadang mengatasi kemampuan manusia
Hakikat Makhluk Jin
Perkataan dasar bagi “Jin” pada bahasa merujuk kepada sifat yang tersembunyi.[1] Makhluk Jin dinamakan demikian kerana sifatnya tersembunyi daripada pancaindera manusia biasa.[2] Orang-orang Jahiliyah juga menggelar para Malaikat sebagai “jin” kerana sifat Malaikat yang juga tersembunyi.[3] Dari sudut istilah ia merujuk kepada sejenis makhluk bernyawa yang hidup di alam ini, sifat kejadiannya halus tak dapat ditanggapi oleh pancaindera manusia biasa, berakal dan bernafsu seperti manusia dan dicipta oleh Allah dengan tanggungjawab untuk menjadi hamba kepada Allah seperti manusia. Kewujudan makhluk ini ditegaskan oleh al-Qur’an dan Hadis. Jin disebut dalam 40 ayat dalam 10 surah al-Qur’an. Malah terdapat satu surah dalam al-Qur’an yang diberi nama surah al-Jin yang khusus membicarakan tentang makhluk Jin mendengar Nabi sedang membaca al-Qur’an lalu mereka beriman dan kembali memberi peringatan kepada kaum mereka.
Firman Allah maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran Yang Aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya Kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!`Kitab Yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu Kami beriman kepadaNya, dan Kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.”(Jin 1-2)
Begitu juga dalam surah al-Ahqaf terdapat cerita mereka mendengar Al-Qur’an lalu kembali menceritakannya kepada kaum mereka.
Allah berfirman maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (Wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadaNya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.(al-Ahqaf 29-31)
Menurut ulama tafsir, mereka merupakan Jin yang tinggal di perkampungan Bakr berhampiran Syam atau Jin perkampungan Naynawiyy berhampiran Mushol. Mereka datang tatkala Nabi saw sedang solat Subuh di kebun tamar berhampiran Thaif. Baginda pula sedang membaca surah al-`Alaq. [1]
Setengah riwayat menyatakan surah al-Rahman. Terdapat pelbagai riwayat yang berbeza menyebut samada baginda menyedarinya atau tidak. Menurut riwayat Ibn `Abbas Nabi saw tidak menyedarinya dan tidak bermaksud menyampaikan al-Qur’an kepada mereka, tetapi berbetulan mereka hadir di kala Nabi saw membacanya. Hadis juga menegaskan bahawa Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah kepada makhluk bergelar manusia dan jin. Beberapa hadis pula menjelaskan mereka telah datang menemui baginda saw. Pandangan yang kuat ianya berlaku sebanyak 6 kali.[2]Antara riwayat yang kuat ialah kisah baginda dengan ditemani oleh Ibn Mas`ud pergi ke tempat pertemuan dengan Jin. Apabila tiba, Ibn Mas`ud ditinggalkan oleh baginda di satu tempat lalu baginda pergi ke kawasan yang tak dapat dilihat oleh Ibn Mas`ud. Kemudian, sekumpulan Jin datang berkumpul di hadapan Nabi lalu baginda saw membacakan al-Qur’an dan mengajak mereka beriman. Setelah itu mereka kembali memberi peringatan pula kepada kaum mereka.[3]
Justeru mempercayai kewujudannya adalah sebahagian aqidah yang mesti diyakini oleh umat Islam. Menafikan kewujudannya dikira fasiq dan kufur. Allah berfirman maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”(al-Zariyat 56)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar